Wednesday, March 31, 2010

PERKEMBANGAN MORAL KANAK-KANAK AWAL 2-6 TAHUN

Teori Lawrence Kolhberg

Lawrence kolhberg dianggap pelopor utama dalam menghuraikan tentang teori perkembangan moral. Beliau berpendapat moraliti berkembang secara universal mengikut satu siri dari satu tahap kepada tahap yang lebih tinggi. Kohlberg percaya bahawa interaksi dengan rakan sebaya memainkan peranan penting dalam menerbitkan bentuk- bentuk pemikiran moral yang lebih canggih. Beliau juga berpendapat bahawa jika kanak-kanak dibiarkan mengalami pelbagai konflik semasa berinteraksi dengan rakan-rakan,lama-kelamaan mereka menjadi mahir dalam menghadapi dilema, iaitu ada cara penaakulan yang lebih berkesan dan kompleks. Menurut beliau lagi, pengalaman perlu jika seseorang ingin mengambil kira perspektif orang lain. Tahap moraliti bagi awal kanak-kanak ialah moraliti prakonvensional.

Moraliti prakonvensional

Peringkat Satu: Orientasi Kedendaan dan Kepatuhan

Orientasi peringkat ini sangat mudah. Orang yang berkuasa akan menetapkan siapa betul dan salah. Kanak- kanak mengandaikan bahawa pihak yang berkuasa menurunkan satu peraturan tetap yang perlu dipatuhi tanpa perlu dipersoalkan. Mereka melihat prinsip akhlak sebagai sesuatu yang di luar diri mereka. Kanak- kanak percaya perlakuan yang baik akan mendapat reaksi yang baik. Pada peringkat ini kanak- kanak mematuhi peraturan dan juga melanggar peraturan sekiranya mereka boleh melepaskan diri dari dikenakan hukuman atau ditangkap.


Peringkat Dua: Orientasi Ganjaran peribadi

Orientasi peringkat ini ialah sekiranya seseorang berbuat baik kepada dirinya,dia akan berbuat baik kepada orang itu juga. Peringkat ini dikenali juga sebagai utilitarian hedonism, iaitu seseorang menilai untuk melakukan sesuatu berdasarkan keinginan untuk mendapatkan ganjaran atau balasan yang baik. Tindak balas yang selasa diertikan sebagai baik begitu juga sebaliknya.Konsep keadilan kanak- kanak di peringkat ini ialah apabila semua orang mendapat peluang sama rata.


Teori Albert Bandura

Albert Bandura berpendapat sesuatu tingkah laku dipelajari menerusi interaksi dengan orang lain dan persekitaran. Semasa berinteraksi seseorang itu akan memerhatikan tingkah laku dan seterusnya meniru perbuatan tersebut. Proses ini dipanggil modelling iaitu pembelajaran melalui permodelan. Antara ciri-ciri teori pemodelan Bandura ialah unsur pembelajaran utama ialah pemerhatian dan peniruan. Tingkah laku model dipelajari melalui bahasa, misalan dan teladan. Individu meniru sesuatu kemahiran daripada kecekapan demontrasi individu lain sebagai model. Selain itu, individu akan memperoleh kemahiran jika memperoleh kepuasan dan peneguhan yang berpatutan. Empat unsur utama teori pemodelan Bandura ialah perhatian, mengingat, reproduksi, peneguhan atau motivasi.

individu

persekitaran Tingkahlaku

Dalam teori Bandura, individu dirujuk sebagai keadaan motivasi intristik. Persekitaran pula sebagai rangsangan luar. Tingkah laku dirujuk sebagai tindak balas. Pembelajaran merupakan interaksi antara motivasi intristik dan tingkah laku individu dengan persekitaran.

Perkembangan moral kanak-kanak Awal 2 hingga 6 tahun

Umur

Perkembangan moral

2-4 tahun

· Mereka belum menyedari adanya peraturan dalam kehidupan mereka.

· Mereka berbuat baik untuk dipuji dan menunjukkan protes apabila marah.

· Kanak-kanak pada peringkat umur ini cuba melakukan sesuatu tingkah laku tanpa tahu sama ada tingkah laku tersebut sesuai atau tidak sesuai dan betul atau tidak.

· Ketika ini, keinginan mereka kuat untuk melakukan sesuatu dengan sendiri.

· Mereka juga suka meniru perbuatan ibu bapa mereka.

4-6 tahun

· Pada peringkat umur ini, kanak-kanak mula memperhatikan atau meniru cara kanak-kanak yang lebih besar daripada mereka.

· Kanak-kanak hanya meniru semata-mata untuk dirinya sendiri.

· Mula menyedari adanya peraturan dan ketaatan yang telah dibuat dari luar dirinya dan harus ditaati.

· Mereka memandang sangat salah apabila sesuatu peraturan itu diubah mahupun dilanggar.

Kesimpulannya,pembentukan tingkah laku baru akan berlaku pada setiap peringkat umur. Kanak-kanak berumur 2 hingga 6 tahun banyak menunjukkan pemerhatian dan peniruan mahupun penglibatan mereka terhadap peraturan, hukuman serta ganjaran. Teori lawrence Kolhberg dan Albert Bandura yang boleh digabungjalinkan dalam menganalisis dan mengkaji tentang peringkat-peringkat perkembangan moral dan tingkah laku kanak-kanak awal. Dalam pendekatan kedua-dua teori tersebut, dapat menunjukkan bahawa perubahan tingkah laku kanak-kanak sentiasa berlaku melalui pengalaman-pengalaman yang di luar jangkaan.


No comments:

Post a Comment